Friday, December 7, 2012

Lanjutan IPP: Tabiat lama BN berulang?


Harakahdaily, 24 Okt 2012

1. Rundingan bekalan eletrik (tenaga) antara pihak Penjana Tenaga Bebas (IPP) dengan kerajaan sedang berjalan. Kerajaan diwakili oleh Tenaga Nasional Berhad dan pemberian konsesi adalah melalui kaedah ’tender terbuka’ atau ‘competitive bid’ yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC).

2. Untuk ingatan umum, konsesi IPP generasi pertama adalah perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang ‘berat-sebelah’ (lope-sided). IPP generasi pertama mendapat pulangan pelaburan sebanyak 20%-40% (ROE), sementara Tenaga menanggung bebannya. Umum masih ingat betapa Tan Sri Ani Arope, Pengerusi Tenaga ketika itu cukup kecewa dengan PPA yang dipaksa ke atas Tenaga secara amat berat sebelah dan tidak adil. Beliau kemudian meletakkan jawatannya.

3. Walaupun kerajaan menjamin bahawa PPA generasi ke-2 IPP akan menjadi lebih telus dan adil, para analyst kewangan telah mula mengkritik beberapa tindakan kerajaan.

4. Pertikaian yang telah mula mendapat liputan dalam media bisnes adalah tentang dua syarikat generasi pertama ini yakni Genting Sanyen Power dan Segari Power Ventures. Segari dimilikki oleh Malakof Behad milik Tan Sri Syed Bukhtar Bukhari. Genting Sanyen kini dibeli oleh 1-MDB.

5. Mengapa kedua-dua IPP ini mendapat ‘layanan yang berbeza dan istimewa’ telah pun mencetuskan pelbagai tanda tanya yang menjadikan segala dakwaan kerajaan bahawa
pemberian konsesi kedua IPP ini adalah telus dan adil, mula dipandang serong oleh pasaran tenaga dan penganalisa.

6. Mengapa Genting Sanyen mendapat harga konsesi pada kadar 35.3 sen dan Segari Power mendapat kadar 36.3 sen per kWh yakni lebih tinggi dari loji tenaga baru yang dibina sendiri oleh Tenaga adalah satu yang tidak difahami. Kalau ia tidak lagi efisien dan boleh menandingi loji baru, maka perlu kadar yang lebih diberikan? Mengapa tidak dihabiskan sahaja konsesinya dan digantikan?

7. Turut dipertikaikan, Segari Power Ventures milik Tan Sri Syed Bukhtar adalah yang pertama mendapat perlanjutan konsesi untuk 10 tahun lagi. Persoalannya ialah apakah kriteria penilaian pihak EC yang melayakkan Segari untuk menjadi IPP pertama yang diberikan ‘extension’ atau lanjutan ini? Tidak dapat dielakkan persepsi negatif terhadap tindakan pemberian lanjutan ini, untuk membantu Malakoff, pemilik Segari IPP yg bercadang utk disenaraikan semula di Bursa Malaysia? Tentunya tindakan EC ini menjadikan ‘valuation’ Malakof menjadi lebih baik dan tinggi, lantas berpotensi mendapat harga IPO yang lebih tinggi. Bukankah itu tindakan menguntungkan ‘kroni’ namanya?

8. EC juga telah meluluskan 10 tahun lanjutan ke atas Genting Sanyen Power yg sekarang telah dimiliki oleh 1MDB yang telah membeli dari Genting Berhad dengan harga RM2.55 bilion, hampir 6 kali nisbah harga:buku (price: book ratio) (nilai buku~ RM422 juta). Harga ini adalah amat mahal dan ketika itu Genting Sanyen hanya ada 3 tahun lagi konsesinya. Seolah-olah semacam tahu bahawa EC akan melanjutkan konsesi Genting Sanyen, 1-MDB membeli dengan harga yang begitu mahal.

9. Untuk ingatan bulan March tahun ini, 1-MD membeli dari Tan Sri Ananda Krishnan, sebuah loji tenaga Tanjung Energy Holding Sdn Bhd dengan harga RM8.5 bilion, meskipun pasaran mentaksirkan harganya dalam lingkungan RM6.6 bilion. Ananda tersenyum ke banknya dengan RM1.9 bilion.

Wajarkah sebuah GLC (1-MD) berbelanja besar seperti ini (jumlah RM11 bilion) dengan cara pinjaman atau bon-sukuk (berhutang)? Tentunya sekali lagi bahawa ini adalah ‘off-budget’ atau ‘off-balance spending’ dalam kategori ‘Contingent Liability’ (CL).

Persoalan saya di Dewan rakyat tentang berapa banyak dari RM117 bilion CL yang telah menjadi ‘liability sebenar’ kerana tak terbayar dek GLCs (NPL) sehingga hari ini tidak dijawab Menteri Kewangan!

10. Kesemua ini meletakkan tadbir-urus Suruhanjaya Tenaga sangat dipertikaian. Para analysts dan pelbagai pihak telah menyarankan bahawa supaya tidak membeli dari IPP generasi pertama ini. IPP ke-2 yang lebih efisien dan yang menggunakan jumlah gas yang kurang dan mungkin juga lebih mesra alam-sekitar dapat diusahakan.

11. Ahli Parlimen Rembau mempertikaiakan semalam tentang mengapa kerajaan negeri tidak menjual pegangan 25% sahamnya (melalui PKNS) dalam Genting Sanyen kalau Pakatan tidak bersetuju dengan subsidi kepada pihak IPP? Penjelasan dari pihak Kerajaan adalah kerana ia tidak dapat menjualnya dengan harga yang baik kerana IPP ini sudah pun hamper ke hujung konsesinya. Menjual loji ini kepada pihak yang berminat dan mendapatkan pulangan kembali kepada pelaburannya adalah satu tindakan yang lebih munasabah.

Apakah tabiat lama Umno-BN akan berulang kembali, walaupun pada zahirnya ia telah
mengambil pendekatan tender terbuka? Malang!

Sokongan Melayu meningkat, kedudukan Johor goyah


Harakahdaily,
26 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Berdasarkan analisis Pusat Penyelidikan PAS (PPP) terhadap kajian-kajian yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk oleh kumpulan penyelidikan di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) seperti yang diumumkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin baru-baru ini, peluang untuk Pakatan Ralyat menawan Johor adalah seimbang.

Meskipun negeri Johor sebelum ini dianggap sebagai “fix deposit” Barisan Nasional (BN) dan kubu kuat UMNO, penemuan-penemuan hasil daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan perubahan yang memberansangkan, kata Dr Zuhdi Masduki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau mengulas kenyataan MPN yang mendakwa BN akan mendapat 120 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

PPP, kata Dr Zuhdi, menyimpulkan peluang untuk PR menawan Johor adalah cerah sekiranya usaha berterusan dilakukan untuk menarik pengundi-pengundi Melayu di samping mengekalkan momentum perubahan pengundi-pengundi Cina di negeri tersebut.

13 kerusi tidak selamat

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di 13 kerusi Parlimen di Johor adalah berada di bawah 50% iaitu Segamat, Labis, Ledang, Bakri, Muar, Batu Pahat, Keluang, Gelang Patah, Teberau, Pasir Gudang, Johor Baharu, Pulai dan Kulai.

Kemenangan sesuatu parti di kawasan-kawasan berkenaan akan bergantung kepada pengundi-pengundi atas pagar termasuklah mereka yang hanya di saat akhir membuat keputusan.

Daripada kawasan-kawasan tersebut, lapan kawasan pula memperlihatkan sokongan akar umbi BN berada di bawah 44 % yang biasanya di ketegorikan sebagai kawasan kelabu hitam bagi BN.

"Kebanyakan kawasan-kawasan tersebut adalah kawasan campuran, iaitu perbezaan antara komposisi pengundi Melayu dan Bukan Melayu tidak besar," kata Dr Zuhdi.

Sepertimana yang disebut oleh Naib Presiden PAS,  Salahuddin Ayub, berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh sebuah kumpulan kajian politik dari sebuah universiti awam, sokongan pengundi-pengundi Melayu di Johor kepada Pakatan meningkat antara 3 % - 5 %, katanya.

"Berdasarkan analisis PPP pula, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat 2 % - 3 % kepada Pakatan, yang kebanyakannya datang daripada pengundi-pengundi muda dan golongan kelas pertengahan," beritahu Dr Zuhdi.

Peningkatan sokongan pengundi Melayu ini ditambah pula dengan perubahan besar sokongan pengundi Cina, akan menjana peralihan (swing) undi yang amat signifikan, sehingga dijangkakan tidak kurang 7 lagi kerusi parlimen boleh jatuh kepada PR di samping kerusi PR yang sedia ada.

"Penemuan ini hampir selari dengan penemuan kajian MPN yang menyatakan 9 kerusi parlimen di Johor dalam kategori hitam bagi BN," katanya.

Pola sokongan pengundi-pengundi di Parlimen ini, katanya, turut mempengaruhi pola sokongan di peringkat DUN.

Hanya 26 DUN putih BN

Berdasarkan analisis PPP, dari segi kawasan DUN di negeri Johor pula, hanya 26 kerusi DUN di negeri Johor yang dikategorikan sebagai kawasan putih bagi BN, manakala selebihnya kelabu dan hitam.

Kerusi-kerusi DUN yang dikategorikan sebagai putih bagi BN di Johor ialah Buluh Kasap, Kemelah, Bukit Serampang, Jorak, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang, Mahkota, Kahang, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.

"Bagaimanapun kedudukan ini, tidak mengambilkira isu-isu terkini seperti kes RAPID di kawasan Parlimen Pengerang yang melibatkan DUN Penawar dan Tanjung Surat, serta cadangan menamakan calon Menteri Besar Melayu oleh PR," tambah beliau.

Tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar Johor oleh PR memberi impak besar kepada peralihan sokongan pengundi terutama golongan muda dan kelas pertengahan, beritahu beliau.

"Sebenarnya perlantikan Menteri Besar Johor di kalangan kaum Melayu bukanlah isu kerana sememangnya Undang-undang Tubuh Negeri Johor perkara 31 dan perkara 34 telah menetapkan sedemikian. Bagaimanapun, ramai pengundi Melayu yang tidak menyedari perkara ini, menyebabkan mereka bimbang kalau PR menawan Johor," jelasnya.

Katanya, tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar oleh PR sememangnya memberikan kesan positif.

Salahudin 74 %

Menurut kajian MPN terhadap “Tingkah Laku Pengundi” dalam memilih pemimpin negeri Johor, Salahuddin Ayub memperolhi kedudukan yang tertinggi iaitu 74 % diikuti Mazlan Aliman 71 %. Pemimpin-pemimpin UMNO tertinggal di belakang termasuk Menteri Besar Johor sekarang.

Berdasarkan penemuan-penemuan di atas, hasil analisis PPP terhadap kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak, peluang PR untuk menawan Johor adalah seimbang.

Kedudukan PR, katanya, semakin cerah dengan bangkitnya isu RAPID di Pengerang dan peningkatan pengundi Melayu disebabkan keyakinan terhadap kepimpinan Melayu Johor dari kalangan PR.

Selain daripada itu, beberapa isu yang besar seperti isu FELDA, Projek Wilayah Iskandar dan kepememimpinan bersih adalah berpihak kepada PR.

Oleh sebab itu, perluang PR untuk menawan Johor disebabkan perkembangan-perkembangan mutakhir ini adalah semakin cerah, tegas beliau lagi.

Tuesday, September 4, 2012

Bila RM16.91 bilion dana mengalir keluar

Oleh: YB Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Eksekutif PPP, Ahli Parlimen Kuala Selangot dan AJK PAS Pusat.

Laporan Jabatan Statistik menunjukkan bahawa pengaliran pelaburan keluar (investment outflow) dalam suku pertama mencecah RM16.91bilion.

Ini jelasnya dalah dua kali ganda pelaburan masuk (investment inflow) dalam suku pertama tahun ini sebanyak RM7.48 bilion

Ini bermakna dana pelaburan yang keluar dari Negara pada suku pertama ini sahaja adalah sebanyak RM9.43 bilion, jumlah yang jauh lebih besar berbanding jumlah RM10.07 bilion untuk seluruh  tahun 2011.

Walaupun ada yang mendakwa ianya baik bagi Negara, kalau syarikat-syarikat mengambil kesempatan dengan harga buruh yang murah berbanding di Malaysia sendiri sekaligus mampu menggalakkan sektor ‘eksport’ Negara dalam  bidang pembuatan (manufacturing) yang
menggunakan sumber tempatan.

Malangnya ia bukan sebabnya syarikat-syarikat ini keluar kerana ia tidak bersabit dengan perkara harga buruh yang murah di Negara-negara destinasi mereka yang rata-rata adalah di Negara-negara Asian sendiri.

Sedikit waktu dahulu destinasi utama pelaburan (DDI) yang keluar adalah ke nagara seperti Singapura, Hong Kong, Mauritius, Indonesia, Netherland, Amerika Syarikat, Thailand United Kingdom.

Kajian mendapati bahawa syarikat-syarikat yang dikenalpasti melabur di luar adalah kelompok dari 3 sektor utama NKEA yakni sector minyak dan gas, kewangan dan insuran dan ‘wholesale dan peruncitan’ dan bukan dari sector pembuatan (buruh murah).

Dengan matlamat Najib untuk meningkatkan pelaburan tempatan (DDI) ke paras 80% dari 93% peningkatan pelaburan menjelang 2020,  dan 20% selebihnya dari sumber FDI , trend ini adalah sangat menggusarkan para analis kewangan dan pelaburan kerana jelasnya tidak mapan di segi
tempoh yang lebih jauh.

Program-program ETP dan EPP memerlukan dana pelaburan untuk memacu pertumbuhan. Seandainya syarikat lebih selesa dan yakin melabur di luar maka Negara akan mengalami kekurangan dana untuk menjalankan kegiatan ekonomi khasnya dalam bidang-bidang NKEA yang menjadi pemangkin utama ‘pertumbuhan’.

Satu kajian yang lebih rapi adalah amat diperlukan supaya pihak MITI dan MIDA tidak bermudah dengan penjelasan dan alasan yang sama (generic) dalam menerangkan sebab-sebab berlaku aliran keluar dana pelaburan yang sepatutnya memacu dan mejana pertumbuhan dalam Negara.

Tidak dapat tidak ianya mesti diakui sebagai membayangkan tahap kepercayaan atau tidak kepercayaan pelabur terhadap ‘daya-saing’ dan kemapanan pertumbuhan’ Negara dalam jangka waktu sederhana dan jangka jauh, meskipun telah pelbagai insentif disuntik seperti yang diberikan Najib dalam pelaburan di Hub kewangan Tun Razak Exchange atau TRX

Monday, September 3, 2012

Kenapa tiada tepuk-sorak pertumbuhan 5.4%?


Saya bukan seorang ‘pessimist’ dan tidak juga seorang ‘sadist’. Tetapi ketika pengumuman dibuat tentang pertumbuhan ekonomi meningkat sebanyak 5.4% dalam suku kedua baru-baru ini, mengapa saya tidak seronok -‘euphoric’- macam sesetengah pemimpin Umno? 

Bukankah pencapaian itu lebih baik dari pertumbuhan 4.7% dari suku pertama tahun ini dalam suasana ekonomi global menguncup dan tidak menentu?

Mengapakah saya suka bercakap tentang ‘bahaya’ dan ‘mala-petaka’ yang bakal menimpa rakyat dan negara (yakni pessimist) dalam suasana ekonomi negara dikatakan adalah lebih baik sekarang? 

Apakah saya seorang “sadist”sengaja menyiksa dan menyakitkan hati Najib, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu?

Yang penting ini bukan pandangan saya sahaja bahkan pakar-pakar ekonomi dan badan-badan penyelidik dan kewangan antarabangsa yang lebih awal merakamkan kekhuatiran tersebut. 
Jadinya, pandangan saya ini bukanlah kerana saya seorang pembangkang di Parlimen (Federal Opposition MP). Saya akan cuba pendekkan analisis dan permudahkan penerangan ini.

Kunci pencapaian ini boleh difahami kalau kita perhatikan dari manakah sumbangan pertumbuhan ini dan apakah kesan baik-buruk kalau pertumbuhan terus dipacu berdasarkan kaedah dan pendekatan itu? Perhatikan dari tabulasi berikut:
 
(Pertumbuhan 5.1 peratus dicapai separuh pertama 2012)

Ternyata dua sumbangan besar petumbuhan adalah dari sektor pembinaan (22.2 peratus - awam dan swasta) dan permintaan dalam negeri.
Tidak dinafikan sektor perkhidmatan (6.3 peratus), perkilangan (5.6 peratus) dan perlombongan (2.3 peratus) juga meningkat.

Gabenor Bank Negara mengakui bahawa projek kejuruteraan mega besar (dalam ETP) dan juga yang kedepan nanti membantu menyokong pertumbuhan ekonomi termasuk projek saluran paip Sabah-Sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion.

Namun angka pertumbuhan (growth numbers) bukan segala-galanya tambahan hanya untuk satu suku tertentu. Tak ramai pun yang faham erti angka pertumbuhan ini. Tetapi ramai yang ‘memuja’ dan terkadangkali ‘mendewa’ angka pertumbuhan ini.
Mungkin kita boleh bincang tentang ‘Pertumbuhan atau Growth’ itu sendiri di lain penulisan, khasnya tentang ‘Brown Growth Vs Green Growth’ atau Pertumbuhan ‘Mapan Vs Tak Mapan (Lestari)’.

Dalam rangka itu juga, penulis mengingatkan semua bahawa pertumbuhan 5.4% dicapai dengan dipacu dua faktor utama; pertumbuhan bidang pembinaan dan permintaan domestik yang terdiri dari penggunaan isi-rumah (domestik).

Persoalan maha pentingnya ialah: Apakah pertumbuhan seperti ini mapan atau ‘sustainable’? dan lebih penting lagi ialah: Apakah pertumbuhan seperti ini akan dapat mengatasi kemelut ekonomi yang sedang cuba di tangani oleh Model Ekonomi Baru (NEM) ciptaan PM Najib?

Pertumbuhan yang dijana dengan sektor ‘pembinaan’ dan khasnya dari pihak awam adalah kegiatan yang membawa kesan negatif dan buruk dalam jangka jauh. Pakar-pakar ekonomi merakamkan kerunsingan bahawa usaha perbelanjaan besar kerajaan atau dengan kata lain ‘pump-priming’ dengan pelbagai projek mega infrastruktur adalah tidak “sustainable” atau mapan dalam jangka jauh. Benar ia membawa kerancakan khasnya dalam sektor ‘construction’, namun apakah ‘kos’ dan dampaknya?

Kesan langsung perbuatan ini adalah HUTANG! Fitch Rating, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa, menyebutkan bahawa hutang kerajaan Malaysia telah buat pertama kalinya mencecah 55% KDNK tahun ini, berbanding 45% dalam tahun 2009.

Fitch Rating
 juga sekaligus memberi amaran keras kepada kerajaan Malaysia, bahawa perbelanjaan besar pihak awam dalam pelaburan infrastruktur dan pembinaan telah mencetuskan hutang yang sangat mengkhuatirkan. Penarafan kewangan awam Malaysia pada tahap A and BBB mesti diperbaikki, tegas Fitch kepada kerajaan Malaysia.

Projek mega seperti MRT dan Tun Razak Exchange, TRX (dulunya KLIFD) asalnya disebut sebagai swasta, kemudian bertukar menjadi Awam dan Swasta (PFI) dan akhirnya hanya ditanggung semua oleh kerajaan. Seluruhnya meningkatkan bebanan hutang awam.

Dalam nada yang seiring, sebuah think-tank ekonomi; Asli’s Centre for Public Studies (CPPS) juga merakamkan penegasan kekhuatiran yang serupa. Dalam Belanjawaan 2013 nanti, Najib diberi amaran supaya tidak bermewah dengan pemberian ‘goodies’ untuk menyuntik ‘feel good factor’ di ambang pilihanraya ke-13 ini. Najib dingatkan supaya tidak berkompromi dengan masa depan ekonomi Negara dengan perbelanjaan yang tidak pruden (reckless).

Seperkara lagi adalah aspek perbelanjaan isi-rumah atau domestic yang menjadi penjana pertumbuhan suku kedua ini juga. Ternyata segala polisi ‘pemberian’ termasuk kenaikan gaji dan lain lain, meninggalkan kesan yang positif terhadap pertumbuhan dalam suku kedua ini. Akan tetapi apakah ini juga satu kaedah yang mapan?

Pendedahan baru-baru ini dalam sebuah akhbar tempatan bahwa kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan. Maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.

Angka cukup menakutkan sebab ia telah melonjak dari 33% KDNK padatahun 1997 (semasa krisis kewangan), 78% 2011 dan kini tentunya 80% nisbah KDNK. Tidak diketahui secara hutang tak berbayar (NPL) terkini.

Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Lebih malang lagi kalau hutang isi-rumah ini dinisbahkan dengan ‘pendapatan boleh berbelanja’ bermakna pendapatan tolak semua hutang (disposable income), maka statistik adalah seperti berikut berbanding negara-negara jiran. (Hutang: pendapatan boleh berbelanja dalam peratus).

Indonesia – 38%, Thailand – 53%, Singapura – 105% tetapi Malaysia – 140% !

Sebanyak 116,379 kes bankrap dicatatkan oleh Jabatan Insolvensi dari tahun 2005 hingga April 2012. Ini bermakna 58 diisytihar bankrap setiap hari.

32% adalah di kalangan mereka berumur 35-42 tahun berpunca dari kegagalan menyelesaikan hutang; hutang kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi (kad redit) dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.

Tentunya dalam negara terperangkap dalam jajaran pendapatan rendah-sederhana dan modal insan yang berada pada tahap produktiviti yang rendah, untuk mengharapkan faktor sebaagi pemacu utama pertumbuhan adalah satu yang tidak mapan.

Najib seperti yang disaran pakar-pakar ekonomi wajar memberikan fokas untuk mengeluarkan ekonomi negara dari beberapa kemelut akibat urus-tadbir kewangan pincang dan tidak pruden.

Di samping berdepan dengan permasalahan struktural yang dibelenggu monopoli dan subsidi yang regresif, tahap hutang akibat terlalu lama menanggung deficit yakni selama 14 tahun, ekonomi yang terbeban dengan pelbagai aspek kegagalan penswastaan dan amalan kronisme serta ‘sistem penghantaran’ yang sarat dengan rasuah dan ketirisan.

Justeru hutang awam (kerajaan Persekutuan yang telah mncecah 55% KDNK yang tidak dizinkan oleh Akta Pinjaman Tempatan, jurang kaya miskin yang terus melebar, pergantungan pendapatan negara kepada hasil minyak dan gas serta tenaga kerja asing yang tidak berketrampilan.

Berlatarbelakangkan kesemua kemelut ekonomi dan gejala pengurusan kewangan Negara ini, mampukah kita bertepuk dan bersorak dengan pertumbuhan di suku kedua tahun ini?

Jangan sampai dipanggil orang tiga suku pulak ya!
-----------------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah anggota Parlimen Kuala Selangor dan Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS  serta AJK PAS Pusat 2011-13.


Saturday, July 21, 2012

Kenyataan Media Pengarah Operasi PPP - 20 Julai 2012

Kenyataan media ini telah disiarkan di Harakahdaily - 22 Julai 2012
Link: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11835-negara-berkebajikan-seminar-kumpul-pakar-5-ogos


SEMINAR PROF. ZULKIFLI MUHAMMAD: PAS BERSEDIA MENYEMAK POLISI SEDIA ADA SEBAGAI PERSIAPAN KE PUTRAJAYA

PAS melalui Pusat Penyelidikan PAS (PPP) komited dalam usaha meneliti, menyemak dan mengkaji semula beberapa dasar sedia ada di peringkat kerajaan Persekutuan sekarang. Menelusuri Dokumen Negara Berkebajikan yang digagaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru  Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dokumen ini merupakan tawaran kepada rakyat sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat memegang tampuk pemerintahan Persekutuan pada PRU 13 akan datang.

Oleh yang demikian, dasar atau polisi awam yang sedia ada akan diselarikan dengan Dokumen Negara Berkebajikan dan kelompangan-kelompangan yang wujud akan ditampung oleh PAS melalui kajian penyelidikan oleh PPP sendiri. Kita (PPP) mempunyai pelbagai pakar dan felo yang bersedia menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan hasrat murni ini.

Selaras dengan hasrat murni ini, PPP akan menganjurkan Seminar Zulkifli Muhammad: Membangun Negara Berkebajikan sebagai langkah kehadapan dalam persiapan melengkapkan polisi dan dasar yang sedia ada. Seminar ini akan berlangsung selama sehari pada 5 Ogos 2012 bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan diikuti majlis berbuka puasa bersama-sama.

Seminar ini mengutarakan 3 topik yang kritikal dalam negara melalui 3 wacana dengan membariskan ahli panel yang berwibawa dalam bidang masing-masing. Topik wacana dan ahli panel seperti berikut:

Wacana 1: Mampukah Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Sendiri.

i. YB Tuan Iskandar Abd Samad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setingaan Kerajaan Negeri Selangor
ii. Prof. Datuk Dr Nik Mohd Zain bin Nik Razak, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi.
iii.  Ust Nik Mohd Zawawi Salleh, Ketua Penerangan Dewan Ulamak dan Setiausaha Majlis Syura PAS.

Wacana 2: Implementasi Sistem Percukaian di Malaysia – Suatu Kajian Semula
  1. YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan AJK PAS Pusat.
  2. Dr Khairuddin Aman Razali, Setiausaha Dewan Ulamak PAS.
  3. Dr Rosli Yaakob, Bekas Penolong Gabenor Bank Negara
Wacana 3: Hiburan dikalangan Belia
        i.            YB Dato’ Abd Fatah b Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan.
      ii.            YB Ust Firdaus b Jaafar, Ahli Parlimen Jerai merangkap Exco Dewan Pemuda PAS
    iii.            Ybhgia Tuan Ahmad Idham b Ahmad Nadzzri, Pengarah dan Penerbit Drama/Filem

Oleh yang demikian, PPP menjemput semua pakar dalam bidang terlibat turut hadir bersama dalam memberi sumbang saran dalam mematangkan idea dan buah fikiran. Selain itu, kita juga mengalu-alukan kehadiran semua pihak termasuk para ahli akademik, wakil-wakil NGO, pimpinan masyarakat setempat dan pimpinan mahasiswa untuk turut serta berdiskusi dalam seminar ini.

Selain itu juga, seminar ini merupakan kesinambunagn daripada beberapa siri wacana yang telah dianjurkan oleh PPP dalam 8 bulan lepas. PPP telah mengumpul dan menganalisis beberapa bidang untuk diterjemah dalam bentuk polisi selari dengan Dokumen Negara Berkebajikan.

Maklumat lanjut mengenai seminar ini boleh didapati melalui blog: www.pasresearchcentre.blogspot.com atau hubungi sekretariat PPP, Encik Ubaid 013-3575978 atau Encik Muhammad 019-3303236. Pendaftaran secara online melalui link: http://www.tiny.cc/seminar-mnb

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah Operasi,
Pusat Penyelidikan PAS

Wednesday, July 18, 2012

Seminar Prof. Zulkifli Muhammad - Membangun Negara Berkebajikan

Objektif Seminar

1. Medan untuk kepimpinan PAS samada peringkat Pusat mahupun wakil-wakil rakyat PAS dan pakar-pakar bidang berbincang polisi dan cabaran-cabaran mendatang.

2. Peluang kepada kepimpinan PAS untuk mendapat input, sumbang saran dan pandangan daripada pakar-pakar bidang dan para peserta (ahli PAS) yang terdiri pelbagai latarbelakang pendidikan atau taraf hidup.

3. Medium bagi kepimpinan PAS menyampaikan pandangan kepada masyarakat secara perbincangan dua hala.

Tarikh
 5 Ogos 2012 / 16 Ramadhan 1433H (Ahad)

Masa
8.00 pagi – 7.00 malam

Tempat
Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad, Taman Melewar, Kuala Lumpur

Anjuran
Pusat Penyelidikan Pas (PPP)

Sasaran Peserta:
1.    AJK PAS Pusat
2.    Wakil Dewan (DPPM, DMPP, DUPP, DHPP)
3.    Ahli-ahli Parlimen PAS
4.    Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS
5.    Wakil Badan Perhubungan Negeri
6.    Para Ulama’
7.    Para Profesional
8.    Pakar-pakar bidang
9.    Wakil kepimpinan Mahasiswa
10.  Wakil parti komponen Pakatan Rakyat
11. Wakil NGO
12. Wakil pimpinan masyarakat

Aturcara Program

5 Ogos 2012 / 16 Ramadhan 1433H, Ahad

8.00 pagi    : Pendaftaran Peserta

8.30 pagi    : Majlis Perasmian
                    Oleh: YB Salahuddin Ayyub, Naib Presiden PAS & Ahli Parlimen Kubang Kerian

8.45 pagi    : Wacana 1: Mampukah Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Sendiri?

10.45 pagi    : Solat Dhuha

11.00 pagi    : Wacana 2: Implementasi Sistem Percukaian Di Malaysia – Satu Kajian Semula

1.00 petang    : Rehat dan Solat Zohor

2.00 petang    : Wacana 3: Sukan dan Hiburan Dikalangan Belia / Anak Muda

4.15 petang    : Solat Asar dan Ma’thurat

5.00 petang    : Slot Resolusi

5.30 petang  : Perasmian Penutup
                  Oleh: YB Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif PPP dan Ahli Parlimen Kuala Selangor

6.45 petang    : Jamuan Iftar, Solat Maghrib dan bersurai

Topik Perbincangan dan Senarai Ahli Panel

Wacana 1: Mampukah Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Sendiri?

Moderator: Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi PPP

Speaker:
a.    YB Tuan Iskandar bin Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor

b.    Prof. Datuk Dr Nik Mohd Zain bin Nik Yusoff, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi.

c.    Ust Zaharuddin b Mohammad, Ahli Majlis Syura dan Penasihat Syariah.

Wacana 2: Implementasi Sistem Percukaian Di Malaysia – Satu Kajian Semula

Moderator: Ustaz Ramadhan Fitri Elias, Koordinator Ekonomi PPP

Speaker:
a.    YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan AJK PAS Pusat.

b.    Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

c.    Dr Rosli Yaakob, Bekas Penolong Gabenor Bank Negara

Wacana 3: Hiburan Dikalangan Belia / Anak Muda

Moderator: Dr Muhaimin Sulam, Timb. Pengarah PPP.

Speaker:
a. YB Dato’ Abd Fatah b Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan.

b. YB Ust Firdaus Jaafar, Ahli Parlimen Jerai merangkap Exco Dewan Pemuda PAS.

c. Ybhgia Tuan Ahmad Idham b Ahmad Nadzzri, Pengarah dan Penerbit Drama/Filem

Hasil daripada seminar ini, PPP akan mengumpul data dan bahan yang diperoleh untuk didokumentasikan, seterusnya dijadikan bahan rujukan untuk merangka/membentuk dasar-dasar berkaitan implementasi Dokumen Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS.

Yuran Seminar:
Bekerja - RM30
Mahasiswa - RM20

Pendaftaran awal boleh dilakukan dengan mengisi borang disini:

http://www.tiny.cc/seminar-mnb

Bank in/deposit wang yuran ke

PPP Research and Development
Bank Islam (M) Bhd 1417 1010 0068 50

sebelum 3 Ogos 2012.

Sebarang pertanyaan / maklumat lanjut boleh hubungi

Sekretariat PPP, En Ubaid Akla di talian 013-3575978 atau Cik Siti Norfarahanim 013-2041089