Thursday, January 9, 2014

"Christianophobia" di Malaysia (siri 1)

Secara umumnya, masyarakat Muslim sama ada di Malaysia atau seluruh dunia Islam melihat hubungan antara Islam dan Kristian adalah hubungan antara dua musuh ketat yang tidak berkesudahan. Dengan sebab itu, bila sahaja disebut perkataan Kristian atau perkataan-perkataan lain yang berkaitannya, kebanyakan masyarakat Islam sama ada kalangan para ulama atau orang awam akan merasai curiga malah akan membibitkan sikap permusuhan kepada mereka. Situasi ini diburukkan lagi dengan kedatangan missionari Kristian ke Asia Tenggara untuk menyebarkan agama mereka sejak era penjajahan.

Tidak dapat dinafikan sikap kecurigaan dan permusuhan seperti ini banyak didorong oleh kefahaman para ulama yang seterusnya masyarakat awam tentang ayat 120 surah al-Baqarah yang bermaksud:

"Dan tidak sekali-kali reda golongan Yahudi dan golongan Kristian akan kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka"

Ayat suci al-Quran ini dijadikan sandaran oleh para ulama dan masyarakat awam Islam, bahawa Islam dan Kristian akan bermusuhan selamanya sehingga hari kiamat. Dengan berpandukan semata-mata kepada ayat ini, maka bentuk hubungan antara Islam dan Kristian seperti telah dipasakkan, sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

Di sini timbul persoalan, adakah benar ayat 120 surah al-Baqarah tersebut bermaksud sedemikian? Sekiranya dilihat kepada tafsir-tafsir yang muktabar akan ditemui kecenderungan yang berlainan, berbeza daripada apa yang lazim difahami. Malah maksud literal ayat 120 itu sendiri telah secara jelas menunjukkan kecenderungan berbeza sekiranya dibaca secara lengkap iaitu:

"Dan tidak sekali-kali reda golongan Yahudi dan golongan Kristian akan kamu (Muhammad saw) sehinggalah kamu mengikut agama mereka. Katakan (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika kamu (Muhammad saw) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah kamu akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

Dengan melihat kepada ayat ini secara lengkap, maka jelas sekali ayat ini mengajar Rasulullah saw untuk membalas hujah golongan Yahudi dan golongan Kristian tentang siapakah sebenarnya yang berada di atas petunjuk Allah. Dari segi lafaz khususnya ayat ini ditujukan kepada Rasulullah saw kerana sebab yang khusus pula.

Menurut al-Tabari di dalam tafsirnya (tanpa mengemukakan sanadnya), ayat ini diturunkan kerana terdapat golongan Yahudi dan golongan Kristian yang berjumpa Rasulullah saw untuk mengajak Baginda mengikut agama mereka. Lalu Allah swt menurunkan ayat ini mengajar Rasulullah saw supaya membalas ajakan mereka dengan dakwah Islam, iaitu menegaskan Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar. Manakala menurut al-Wahidi al-Naysaburi, ayat ini diturunkan sebagai jawapan balas kepada golongan Yahudi dan golongan Kristian mengajak Rasulullah saw kepada perdamaian supaya mereka boleh berlembut kepada Rasulullah saw.

Menurut al-Naysaburi lagi, berdasarkan kata Ibn Abbas, ayat ini adalah berkaitan dengan arah kiblat, iaitu golongan Yahudi Madinah dan golongan Kristian Najran mengajak Rasulullah saw menghadap ke kiblat mereka di Bayt al-Muqaddas. Apabila Allah memerintahkan Rasulullah saw berpaling ke Makkah, maka kedua-dua golongan ini menggesa Baginda mengikut ketetapan agama mereka (kiblat). Lalu Allah swt menurunkan ayat ini mengajar Rasulullah saw supaya berhujah, bahawa Islam itulah petunjuk Allah swt yang sebenar, bukanlah Yahudi dan Kristian.

Kesemua riwayat tentang Asbab al-Nuzul ayat 120 ini menjelaskan tentang dua pengajaran penting daripada ayat ini:

a. Secara tegasnya Islam tidak memperakui kebenaran agama lain, justeru Rasulullah saw diajar oleh Allah berhujah dengan kebenaran Islam sebagai petunjuk sebenar dari Allah. Meskpun tiada toleransi dalam persoalan kepercayaan, tetapi bukanlah bermaksud hubungan antara Muslim dan penganut agama lain bersifat permusuhan, sebaliknya Islam mementingkan hubungan kemanusiaan dan memberi kebebasan mereka menganut kepercayaan mereka.

b. Secara tegas juga Rasulullah saw diajar bahawa syarat perdamaian bukanlah Baginda mengikut agama mereka kerana perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh Rasulullah disebabkan Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar. Jika itu syarat perdamaian yang diminta oleh golongan Yahudi dan golongan Kristian, maka tidak sekali-kali Rasulullah saw dan umat Islam akan menerimanya.

Berdasarkan kepada maksud literal dan riwayat Asbab al-Nuzul yang dikemukakan itu, jelaslah kecenderungan ayat ini bukanlah meniupkan semangat permusuhan yang berkekalan antara Islam dan Kristian, sebaliknya kesiap-siagaan Islam berhujah dengan golongan Yahudi dan golongan Kristian tentang kebenaran Islam. Ayat ini menegaskan bahawa Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar dan umat Islam selamanya berpegang kepada itu, justeru golongan Yahudi dan golongan Kristian diingatkan supaya tidak meletakkan syarat mengikut agama mereka untuk berlaku perdamaian antara mereka dan umat Islam.

-akan bersambung-

Oleh: Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi PPP

Kenapa KPMG saran kenaikan gaji 6% awam dan swasta?

1. Apabila Pakatan Rakyat meletakkan syarat-syarat yang ketat dan tegas kepada kerajaan Najib yang mesti dipenuhi sebelum GST boleh dilaksanakan, BN dan pengkritik kami menyelar kami sebagai hanya mahu membangkang. Pakatan tak tahu mentadbir dakwanya. Akhirya ada firma audit besar yang berani bersuara. Erti dan maksudnya perlu difahami.

2. Dengan kenyataan Pengarah baru KPMG, firma audit yg
 antara terbesar, the Big Four itu terserlah hakikat senario yang mendatang. Sukar untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian yang tegas seperti itu kerana tentunya punya kepentingan bisnes dengan Putrajaya.

3. Namun KPMG menggesa supaya pihak awam dan swasta menaikkan gaji pekerja sebanyak 6% berdepan dengan perlaksanaan GST tahun depan, April 2015.

4. Ini tambah beliau adalah kerana kos barangan dan perkhidmatan yg semua mengalami kenaikan harga. Untuk ingatan umum, pelbagai subsidi ditarik balik bermula, sekaligus mencetuskan kenaikan 11% bahan bakar, 14% gula berserta dgn kenaikan tarif elektrik dari 15% hingga 16.9%, tol dan pengangkutan awam dan pelbagai lagi.

5. Persoalan yang tidak digarap oleh KPMG adalah bagaimana pula dengan golongan yang tidak punya gaji untuk dinaikkan. Mereka adalah rakyat yang terdiri dari golongan petani sawah, pekebun kecil, nelayan dan peniaga pasar malam dan yang mengambil upah bekerja dikampong.

6. Pendapatan mereka kekal pada takuk lama sementara kos sara hidup terus melambung. Bahkan sebaliknya ada peniaga di kalangan mereka berdepan dengan pengurangan pendapatan, apabila rakyat umumnya mengalami penguncupan kuasa membeli dengan kenaikan harga barang.

7. Inflasi diramalkan ke paras 2.9% tahun 2014 sehingga ke paras setinggi 3.3% tahun 2015. Ramalan inflasi ke tahap Harga Pengguna (CPI) mencecah 3.3% ke 3.5% adalah ganas atau ‘vicious’.

8. Sementara pihak Eksekutif akan mendapat kenaikan gaji sebanyak 5.63% berbanding 6.31% di tahun lalu 2012 dan golongan bukan-eksekutif akan mendapat kenaikan ke 5.65% berbanding 6.7% tahun 2012.

Dapatan ini adalah dari informasi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Perlaksanaan gaji minima sepatutnya membantu golongan pekerja sokongan dan pihak non-eksekutif diharap mendapat bonus yang lebih baik.

9. Sekali lagi golongan yang tidak terbela adalah golongan bekerja sendiri, yang akan menjadi sasaran. GST jelasnya akan memangsakan golongan berpendapatan rendah dan yang bekerja sendiri. Ini yang dimaksudkan dengan kesan "regressif" atau ‘songsang’ kerana 6% GST dari ‘pendapatan boleh berbelanja’ berpendapatan rendah ini adalah jauh lebih besar peratusya dari golongan berpendapatan tinggi.

10. Justeru kerana itu hujjah meletakkan syarat-syarat perlaksanaan GST adalah menasabah antaranya;

a. Tingkatkan dahulu pendapatan rakyat khususnya golongan rendah dan sederhana.

b. Tutup dahulu lubang2 kebocoran bagi meningkatkan pendapatan kerajaan dan kenalkan cukai-cukai seperti CGT dahulu atau..Capital Gain Tax... atau cukai untung modal seperti saham dan bon. Contoh yang dilaksanakan kerajaan sekarang ialah cukai keuntungan menjual haratnah atau cukai RPGT.

c. Pastikan dahulu amalan tender terbuka bagi mendapatkan 'value for money'..nilai terbaik dan elakkan amalan runding langsung dgn “harga membengkak"..atau "bloated prices".

d. Elakkan dahulu pembaziran dan projek mega infrastuktur yg didakwa pakar-pakar integriti adalah sarat dengan amalan 'kickback' , rasuah dan amalan kronisme dan selalu berakhir dengan ‘cost-overrun’ yang besar. (buku Combating Corruption, Anis Yusal et al)

Sebab itu kami tegaskan jangan memangsakan rakyat kerana untuk tangani kebejatan hutang kerajaan Pusat dan defisit fiskal dengan menarik balik subsisdi dan mengenakan cukai regressif seperti GST adalah satu langkah ‘jalan pintas’ yang tidak bertanggungjawab.

Reformasi struktural serta penambahbaikan dalam aspek tadbir-urus serta komitmen kepimpinan untuk menadayakan pelbagai polisi-polisi

Laksanakan langkah-langkah yang lebih utama dan mapan yang dicadangkan pelbagai pihak dahulu termasuk Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya KPMG, sebagai sebuah entit korporat juga tahu bahawa impak kewangan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan tambahan dengan GST adalah sangat BERAT dan PARAH kepada rakyat teramai.

Itu tidak lagi mengambil ramalan impak sosial, gejala jenayah termasuk kemalangan apabila rakyat mula membuat segala-galanya untuk menyara kehidupan keluarga dengan merubah cara hidup termasuk naik motor ke pejabat dan cari pekerjaan kedua dan ketigayang mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga.

Apakah cukup untuk KPMG dan seangkatan dengannya sekadar membuat saranan?

Oleh: DR DZULKEFLY AHMAD, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS merangkap AJK PAS Pusat.