Thursday, January 9, 2014

"Christianophobia" di Malaysia (siri 1)

Secara umumnya, masyarakat Muslim sama ada di Malaysia atau seluruh dunia Islam melihat hubungan antara Islam dan Kristian adalah hubungan antara dua musuh ketat yang tidak berkesudahan. Dengan sebab itu, bila sahaja disebut perkataan Kristian atau perkataan-perkataan lain yang berkaitannya, kebanyakan masyarakat Islam sama ada kalangan para ulama atau orang awam akan merasai curiga malah akan membibitkan sikap permusuhan kepada mereka. Situasi ini diburukkan lagi dengan kedatangan missionari Kristian ke Asia Tenggara untuk menyebarkan agama mereka sejak era penjajahan.

Tidak dapat dinafikan sikap kecurigaan dan permusuhan seperti ini banyak didorong oleh kefahaman para ulama yang seterusnya masyarakat awam tentang ayat 120 surah al-Baqarah yang bermaksud:

"Dan tidak sekali-kali reda golongan Yahudi dan golongan Kristian akan kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka"

Ayat suci al-Quran ini dijadikan sandaran oleh para ulama dan masyarakat awam Islam, bahawa Islam dan Kristian akan bermusuhan selamanya sehingga hari kiamat. Dengan berpandukan semata-mata kepada ayat ini, maka bentuk hubungan antara Islam dan Kristian seperti telah dipasakkan, sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

Di sini timbul persoalan, adakah benar ayat 120 surah al-Baqarah tersebut bermaksud sedemikian? Sekiranya dilihat kepada tafsir-tafsir yang muktabar akan ditemui kecenderungan yang berlainan, berbeza daripada apa yang lazim difahami. Malah maksud literal ayat 120 itu sendiri telah secara jelas menunjukkan kecenderungan berbeza sekiranya dibaca secara lengkap iaitu:

"Dan tidak sekali-kali reda golongan Yahudi dan golongan Kristian akan kamu (Muhammad saw) sehinggalah kamu mengikut agama mereka. Katakan (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika kamu (Muhammad saw) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah kamu akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

Dengan melihat kepada ayat ini secara lengkap, maka jelas sekali ayat ini mengajar Rasulullah saw untuk membalas hujah golongan Yahudi dan golongan Kristian tentang siapakah sebenarnya yang berada di atas petunjuk Allah. Dari segi lafaz khususnya ayat ini ditujukan kepada Rasulullah saw kerana sebab yang khusus pula.

Menurut al-Tabari di dalam tafsirnya (tanpa mengemukakan sanadnya), ayat ini diturunkan kerana terdapat golongan Yahudi dan golongan Kristian yang berjumpa Rasulullah saw untuk mengajak Baginda mengikut agama mereka. Lalu Allah swt menurunkan ayat ini mengajar Rasulullah saw supaya membalas ajakan mereka dengan dakwah Islam, iaitu menegaskan Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar. Manakala menurut al-Wahidi al-Naysaburi, ayat ini diturunkan sebagai jawapan balas kepada golongan Yahudi dan golongan Kristian mengajak Rasulullah saw kepada perdamaian supaya mereka boleh berlembut kepada Rasulullah saw.

Menurut al-Naysaburi lagi, berdasarkan kata Ibn Abbas, ayat ini adalah berkaitan dengan arah kiblat, iaitu golongan Yahudi Madinah dan golongan Kristian Najran mengajak Rasulullah saw menghadap ke kiblat mereka di Bayt al-Muqaddas. Apabila Allah memerintahkan Rasulullah saw berpaling ke Makkah, maka kedua-dua golongan ini menggesa Baginda mengikut ketetapan agama mereka (kiblat). Lalu Allah swt menurunkan ayat ini mengajar Rasulullah saw supaya berhujah, bahawa Islam itulah petunjuk Allah swt yang sebenar, bukanlah Yahudi dan Kristian.

Kesemua riwayat tentang Asbab al-Nuzul ayat 120 ini menjelaskan tentang dua pengajaran penting daripada ayat ini:

a. Secara tegasnya Islam tidak memperakui kebenaran agama lain, justeru Rasulullah saw diajar oleh Allah berhujah dengan kebenaran Islam sebagai petunjuk sebenar dari Allah. Meskpun tiada toleransi dalam persoalan kepercayaan, tetapi bukanlah bermaksud hubungan antara Muslim dan penganut agama lain bersifat permusuhan, sebaliknya Islam mementingkan hubungan kemanusiaan dan memberi kebebasan mereka menganut kepercayaan mereka.

b. Secara tegas juga Rasulullah saw diajar bahawa syarat perdamaian bukanlah Baginda mengikut agama mereka kerana perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh Rasulullah disebabkan Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar. Jika itu syarat perdamaian yang diminta oleh golongan Yahudi dan golongan Kristian, maka tidak sekali-kali Rasulullah saw dan umat Islam akan menerimanya.

Berdasarkan kepada maksud literal dan riwayat Asbab al-Nuzul yang dikemukakan itu, jelaslah kecenderungan ayat ini bukanlah meniupkan semangat permusuhan yang berkekalan antara Islam dan Kristian, sebaliknya kesiap-siagaan Islam berhujah dengan golongan Yahudi dan golongan Kristian tentang kebenaran Islam. Ayat ini menegaskan bahawa Islam itulah petunjuk Allah yang sebenar dan umat Islam selamanya berpegang kepada itu, justeru golongan Yahudi dan golongan Kristian diingatkan supaya tidak meletakkan syarat mengikut agama mereka untuk berlaku perdamaian antara mereka dan umat Islam.

-akan bersambung-

Oleh: Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi PPP

No comments:

Post a Comment