Friday, December 7, 2012

Lanjutan IPP: Tabiat lama BN berulang?


Harakahdaily, 24 Okt 2012

1. Rundingan bekalan eletrik (tenaga) antara pihak Penjana Tenaga Bebas (IPP) dengan kerajaan sedang berjalan. Kerajaan diwakili oleh Tenaga Nasional Berhad dan pemberian konsesi adalah melalui kaedah ’tender terbuka’ atau ‘competitive bid’ yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC).

2. Untuk ingatan umum, konsesi IPP generasi pertama adalah perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang ‘berat-sebelah’ (lope-sided). IPP generasi pertama mendapat pulangan pelaburan sebanyak 20%-40% (ROE), sementara Tenaga menanggung bebannya. Umum masih ingat betapa Tan Sri Ani Arope, Pengerusi Tenaga ketika itu cukup kecewa dengan PPA yang dipaksa ke atas Tenaga secara amat berat sebelah dan tidak adil. Beliau kemudian meletakkan jawatannya.

3. Walaupun kerajaan menjamin bahawa PPA generasi ke-2 IPP akan menjadi lebih telus dan adil, para analyst kewangan telah mula mengkritik beberapa tindakan kerajaan.

4. Pertikaian yang telah mula mendapat liputan dalam media bisnes adalah tentang dua syarikat generasi pertama ini yakni Genting Sanyen Power dan Segari Power Ventures. Segari dimilikki oleh Malakof Behad milik Tan Sri Syed Bukhtar Bukhari. Genting Sanyen kini dibeli oleh 1-MDB.

5. Mengapa kedua-dua IPP ini mendapat ‘layanan yang berbeza dan istimewa’ telah pun mencetuskan pelbagai tanda tanya yang menjadikan segala dakwaan kerajaan bahawa
pemberian konsesi kedua IPP ini adalah telus dan adil, mula dipandang serong oleh pasaran tenaga dan penganalisa.

6. Mengapa Genting Sanyen mendapat harga konsesi pada kadar 35.3 sen dan Segari Power mendapat kadar 36.3 sen per kWh yakni lebih tinggi dari loji tenaga baru yang dibina sendiri oleh Tenaga adalah satu yang tidak difahami. Kalau ia tidak lagi efisien dan boleh menandingi loji baru, maka perlu kadar yang lebih diberikan? Mengapa tidak dihabiskan sahaja konsesinya dan digantikan?

7. Turut dipertikaikan, Segari Power Ventures milik Tan Sri Syed Bukhtar adalah yang pertama mendapat perlanjutan konsesi untuk 10 tahun lagi. Persoalannya ialah apakah kriteria penilaian pihak EC yang melayakkan Segari untuk menjadi IPP pertama yang diberikan ‘extension’ atau lanjutan ini? Tidak dapat dielakkan persepsi negatif terhadap tindakan pemberian lanjutan ini, untuk membantu Malakoff, pemilik Segari IPP yg bercadang utk disenaraikan semula di Bursa Malaysia? Tentunya tindakan EC ini menjadikan ‘valuation’ Malakof menjadi lebih baik dan tinggi, lantas berpotensi mendapat harga IPO yang lebih tinggi. Bukankah itu tindakan menguntungkan ‘kroni’ namanya?

8. EC juga telah meluluskan 10 tahun lanjutan ke atas Genting Sanyen Power yg sekarang telah dimiliki oleh 1MDB yang telah membeli dari Genting Berhad dengan harga RM2.55 bilion, hampir 6 kali nisbah harga:buku (price: book ratio) (nilai buku~ RM422 juta). Harga ini adalah amat mahal dan ketika itu Genting Sanyen hanya ada 3 tahun lagi konsesinya. Seolah-olah semacam tahu bahawa EC akan melanjutkan konsesi Genting Sanyen, 1-MDB membeli dengan harga yang begitu mahal.

9. Untuk ingatan bulan March tahun ini, 1-MD membeli dari Tan Sri Ananda Krishnan, sebuah loji tenaga Tanjung Energy Holding Sdn Bhd dengan harga RM8.5 bilion, meskipun pasaran mentaksirkan harganya dalam lingkungan RM6.6 bilion. Ananda tersenyum ke banknya dengan RM1.9 bilion.

Wajarkah sebuah GLC (1-MD) berbelanja besar seperti ini (jumlah RM11 bilion) dengan cara pinjaman atau bon-sukuk (berhutang)? Tentunya sekali lagi bahawa ini adalah ‘off-budget’ atau ‘off-balance spending’ dalam kategori ‘Contingent Liability’ (CL).

Persoalan saya di Dewan rakyat tentang berapa banyak dari RM117 bilion CL yang telah menjadi ‘liability sebenar’ kerana tak terbayar dek GLCs (NPL) sehingga hari ini tidak dijawab Menteri Kewangan!

10. Kesemua ini meletakkan tadbir-urus Suruhanjaya Tenaga sangat dipertikaian. Para analysts dan pelbagai pihak telah menyarankan bahawa supaya tidak membeli dari IPP generasi pertama ini. IPP ke-2 yang lebih efisien dan yang menggunakan jumlah gas yang kurang dan mungkin juga lebih mesra alam-sekitar dapat diusahakan.

11. Ahli Parlimen Rembau mempertikaiakan semalam tentang mengapa kerajaan negeri tidak menjual pegangan 25% sahamnya (melalui PKNS) dalam Genting Sanyen kalau Pakatan tidak bersetuju dengan subsidi kepada pihak IPP? Penjelasan dari pihak Kerajaan adalah kerana ia tidak dapat menjualnya dengan harga yang baik kerana IPP ini sudah pun hamper ke hujung konsesinya. Menjual loji ini kepada pihak yang berminat dan mendapatkan pulangan kembali kepada pelaburannya adalah satu tindakan yang lebih munasabah.

Apakah tabiat lama Umno-BN akan berulang kembali, walaupun pada zahirnya ia telah
mengambil pendekatan tender terbuka? Malang!

Sokongan Melayu meningkat, kedudukan Johor goyah


Harakahdaily,
26 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Berdasarkan analisis Pusat Penyelidikan PAS (PPP) terhadap kajian-kajian yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk oleh kumpulan penyelidikan di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) seperti yang diumumkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin baru-baru ini, peluang untuk Pakatan Ralyat menawan Johor adalah seimbang.

Meskipun negeri Johor sebelum ini dianggap sebagai “fix deposit” Barisan Nasional (BN) dan kubu kuat UMNO, penemuan-penemuan hasil daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan perubahan yang memberansangkan, kata Dr Zuhdi Masduki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau mengulas kenyataan MPN yang mendakwa BN akan mendapat 120 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

PPP, kata Dr Zuhdi, menyimpulkan peluang untuk PR menawan Johor adalah cerah sekiranya usaha berterusan dilakukan untuk menarik pengundi-pengundi Melayu di samping mengekalkan momentum perubahan pengundi-pengundi Cina di negeri tersebut.

13 kerusi tidak selamat

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di 13 kerusi Parlimen di Johor adalah berada di bawah 50% iaitu Segamat, Labis, Ledang, Bakri, Muar, Batu Pahat, Keluang, Gelang Patah, Teberau, Pasir Gudang, Johor Baharu, Pulai dan Kulai.

Kemenangan sesuatu parti di kawasan-kawasan berkenaan akan bergantung kepada pengundi-pengundi atas pagar termasuklah mereka yang hanya di saat akhir membuat keputusan.

Daripada kawasan-kawasan tersebut, lapan kawasan pula memperlihatkan sokongan akar umbi BN berada di bawah 44 % yang biasanya di ketegorikan sebagai kawasan kelabu hitam bagi BN.

"Kebanyakan kawasan-kawasan tersebut adalah kawasan campuran, iaitu perbezaan antara komposisi pengundi Melayu dan Bukan Melayu tidak besar," kata Dr Zuhdi.

Sepertimana yang disebut oleh Naib Presiden PAS,  Salahuddin Ayub, berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh sebuah kumpulan kajian politik dari sebuah universiti awam, sokongan pengundi-pengundi Melayu di Johor kepada Pakatan meningkat antara 3 % - 5 %, katanya.

"Berdasarkan analisis PPP pula, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat 2 % - 3 % kepada Pakatan, yang kebanyakannya datang daripada pengundi-pengundi muda dan golongan kelas pertengahan," beritahu Dr Zuhdi.

Peningkatan sokongan pengundi Melayu ini ditambah pula dengan perubahan besar sokongan pengundi Cina, akan menjana peralihan (swing) undi yang amat signifikan, sehingga dijangkakan tidak kurang 7 lagi kerusi parlimen boleh jatuh kepada PR di samping kerusi PR yang sedia ada.

"Penemuan ini hampir selari dengan penemuan kajian MPN yang menyatakan 9 kerusi parlimen di Johor dalam kategori hitam bagi BN," katanya.

Pola sokongan pengundi-pengundi di Parlimen ini, katanya, turut mempengaruhi pola sokongan di peringkat DUN.

Hanya 26 DUN putih BN

Berdasarkan analisis PPP, dari segi kawasan DUN di negeri Johor pula, hanya 26 kerusi DUN di negeri Johor yang dikategorikan sebagai kawasan putih bagi BN, manakala selebihnya kelabu dan hitam.

Kerusi-kerusi DUN yang dikategorikan sebagai putih bagi BN di Johor ialah Buluh Kasap, Kemelah, Bukit Serampang, Jorak, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang, Mahkota, Kahang, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.

"Bagaimanapun kedudukan ini, tidak mengambilkira isu-isu terkini seperti kes RAPID di kawasan Parlimen Pengerang yang melibatkan DUN Penawar dan Tanjung Surat, serta cadangan menamakan calon Menteri Besar Melayu oleh PR," tambah beliau.

Tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar Johor oleh PR memberi impak besar kepada peralihan sokongan pengundi terutama golongan muda dan kelas pertengahan, beritahu beliau.

"Sebenarnya perlantikan Menteri Besar Johor di kalangan kaum Melayu bukanlah isu kerana sememangnya Undang-undang Tubuh Negeri Johor perkara 31 dan perkara 34 telah menetapkan sedemikian. Bagaimanapun, ramai pengundi Melayu yang tidak menyedari perkara ini, menyebabkan mereka bimbang kalau PR menawan Johor," jelasnya.

Katanya, tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar oleh PR sememangnya memberikan kesan positif.

Salahudin 74 %

Menurut kajian MPN terhadap “Tingkah Laku Pengundi” dalam memilih pemimpin negeri Johor, Salahuddin Ayub memperolhi kedudukan yang tertinggi iaitu 74 % diikuti Mazlan Aliman 71 %. Pemimpin-pemimpin UMNO tertinggal di belakang termasuk Menteri Besar Johor sekarang.

Berdasarkan penemuan-penemuan di atas, hasil analisis PPP terhadap kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak, peluang PR untuk menawan Johor adalah seimbang.

Kedudukan PR, katanya, semakin cerah dengan bangkitnya isu RAPID di Pengerang dan peningkatan pengundi Melayu disebabkan keyakinan terhadap kepimpinan Melayu Johor dari kalangan PR.

Selain daripada itu, beberapa isu yang besar seperti isu FELDA, Projek Wilayah Iskandar dan kepememimpinan bersih adalah berpihak kepada PR.

Oleh sebab itu, perluang PR untuk menawan Johor disebabkan perkembangan-perkembangan mutakhir ini adalah semakin cerah, tegas beliau lagi.